Bagaimana Bank-Bank Islam Tawarkan Akaun Simpanan Tetap? Inilah Yang Berlaku Sebenarnya!

Mungkin ramai yang terbiasa dengar bahawa keuntungan tetap dalam pelaburan adalah tidak dibenarkan. Jadi bagaimana pula bank-bank Islam menawarkan akaun simpanan tetap bertempoh ‘Term Fixed deposit’, dengan menjanjikan pulangan tetap untuk tempoh tertentu?

1. Deposit pelanggan sangat penting bagi bank kerana ia merupakan sumber utama dana untuk digunakan bagi tujuan pembiayaan.
2. Di perbankan Islam terdapat dua bentuk deposit yang menjanjikan keuntungan. Satunya berbentuk pelaburan sama ada mudharabah atau wakalah, yang mana risiko sepenuhnya ditanggung oleh pelanggan, dan keuntungan tidak boleh ditentukan lebih awal, bahkan tidak dijamin oleh PIDM. Deposit jenis ini tidak begitu kompetitif jika dibandingkan dengan bank konvensional. Keduanya deposit tetap. Ia bukan pelaburan, ia bentuk deposit yang berasaskan kontrak jual beli.
3. Jadi, bagaimana akad distrukturkan agar dapat dipastikan deposit keuntungan tetap ini patuh Syariah?
4. Kaedah yang biasa digunakan oleh perbankan Islam ialah melalui kontrak murabahah komoditi, secara tawarruq.
5. Apa itu murabahah? Apa itu tawarruq? Murabahah ialah jualan dengan kadar keuntungan yang telah ditetapkan. Contohnya Ali beli buku RM100, jual kepada Abu RM120 dengan kosnya diketahui oleh Abu. Tawarruq pula bagaimana? Tawarruq ialah susunan dua kontrak antara tiga pihak, untuk mencipta hutang secara murabahah dengan bayaran tertangguh, dan satu pihak mendapat wang tunai.
6. Sukar faham? Begini, langkah pertama apabila bank menawarkan akaun simpanan tetap, pelanggan akan ke bank membawa wang untuk disimpan. Contohnya RM10000
7. Bank menggunakan wang itu untuk beli apa-apa bentuk komoditi, contohnya Minyak Sawit Mentah BAGI PIHAK PELANGGAN. Dan sekarang ini wang pelanggan sudah bertukar menjadi Minyak Sawit Mentah bernilai RM10000. Dan minyak sawit itu milik penuh pelanggan.
8. Bank kemudian beli MSM daripada pelanggan dengan harga RM10000 + profit 5% (kontrak ini namanya murabahah) dibayar balik dalam masa setahun. Jika pelanggan keluarkan wang dalam masa setahun, maka pelanggan layaklah dapat profit 5%. Jadi sekarang ini bayaran 5% adalah hasil jualan kelapa sawit pendeposit kepada bank.
9. Bank tak perlu pun MSM tu, bank kemudiannya jual MSM tu kepada broker di pasaran dengan harga RM10000 dan bank dapatlah tunai. Tunai ini bank boleh gunakan untuk buat pembiayaan lain.
10. Jelas di sini keuntungan 5% tetap, itu bukanlah pelaburan tapi hasil jualan MSM kepada bank.
11. Bagaimana pula jika pelanggan keluarkan sebelum tempoh matang? Semasa jualan murabahah berlaku, pelanggan pada ketika itu turut bersetuju, sekiranya bank membayar kepadanya hutang MSM itu lebih awal (maksudnya pelanggan keluarkan wang sebelum tempoh matang), dia akan berikan diskaun atau dia bersetuju untuk gugurkan haknya terhadap beberapa percentage keuntungan daripada bank. Dengan kata lain, setuju untuk bagi diskaun jika bank bayar hutang lebih awal (keluarkan deposit sebelum tempoh matang).

Itulah yang berlaku dalam perbankan Islam di Malaysia, nampak saja bank, padahal ia kedai jual beli minyak juga. Bukan minyak urut, tapi minyak kelapa sawit mentah. Kontrak ini juga adakalanya menggunakan komoditi lain seperti logam aluminium dan lain-lain.

Tidak semua ulama bersetuju dengan kontrak sebegini, namun itulah antara alternatif yang disediakan oleh perbankan Islam untuk ‘survive’ dalam industri kewangan yang mana 98% adalah berasaskan sistem konvensional dan riba.

Kaedah yang dinyatakan di atas secara umum dan ringkas sahaja. Ia mungkin berbeza mengikut bank-bank sama ada prosedur atau tata urusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *