Sebab Pemilikan Menurut Muamalat Islam

Harta tidak berpindah milik semudah itu. Ia memerlukan sebab yang kuat untuk menjadikan harta berpindah hak milik. Contohnya ikan di laut adalah hak milik Allah, lalu dengan sebab kontrak istikhlaf, ia menjadi milik awam, diuruskan oleh kerajaan. Nelayan atau kaki pancing perlu berusaha untuk dapatkan ikan, dan usaha berburu ikan ini menjadi sebab kepada hak milik. Oleh kerana ia diuruskan oleh kerajaan secara istikhlaf, maka untuk memancing atau berburu, perlu ikut peraturan kerajaan.

Ikan yang sudah ditangkap menjadi hak milik nelayan. Maka itulah harta yang dijaga haknya oleh agama. Pencuri ikan itu, boleh dihukum hudud, jika cukup syaratnya. Nelayan itu boleh memindahkan hak milik ikan dengan cara jual, atau hadiah, atau sedekah.

Itulah gambaran proses perubahan pemilikan. Justeru untuk mempermudahkan pengajian, para sarjana membahagikan proses pemilikan kepada dua bentuk:
1. Pemilikan Paksaan / Automatik. Proses pemilikan secara paksaan boleh berlaku melalui proses pewarisan harta. Dengan meninggal dunianya seorang muslim, maka secara automatik, harta-hartanyanya setelah ditolak hutang-hutangnya, akan menjadi milik warisnya. Nak atau tidak, proses ini tetap berlaku.
Pemilikan paksaan juga berlaku melalui zakat. Wang atau emas dan perak yang sudah cukup jumlah nisabnya, cukup tempohnya, wajib dikeluarkan zakat. Mahu atau tidak, zakat wajib ditunaikan. Harta ini berpindah daripada orang kaya kepada orang miskin.

2. Pemilikan Secara Pilihan. Proses pemilkan secara pilihan pula adalah melalui kontrak-kontrak. Contohnya tanah-tanah terbiar boleh dijadikan hak milik melalui pengusahaannya (ihya’ ard al–mawat) dengan kebenaran daripada kerajaan. Begitu juga kerajaan berhak memberikan tanah-tanah dengan cara al-Iqta’ kepada mereka yang ingin mengusahakan tanah. Proses pemilikan antara individu pula boleh berlaku dengan cara-cara akad iaitu berikut:
+ Tukaran dan Jual Beli
+ Hibah, hadiah, wasiat dan sedekah
+ Waqaf
+ Ijarah dengan membayar manfaat atau khidmat
+ Luqatah

Harta tidak boleh berpindah tanpa kontrak yang sah. Kerana Syariah menjaga harta individu setelah dimiliki secara sah. Rasulullah SAW bersabda:
“Bagi setiap muslim, adalah haram ke atas muslim yang lain (untuk dicerobohi): Darahnya, hartanya dan maruahnya” [Sahih Muslim]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *