Mengapa Wang Kertas Dianggap Produk Ribawi? 

1. Produk ribawi ialah komoditi atau barangan yang tertakluk kepada hukum-hukum tertentu, yang melibatkan hukum riba jika dilanggar hukum tersebut.
2. Komoditi ribawi dan kaedah urus niaganya disebutkan di dalam hadis sahih. Abu Sa’id Al Khudri berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Emas ditukar dengan emas, perak ditukar dengan perak, gandum ditukar dengan gandum, barli ditukar dengan barli, kurma ditukar dengan kurma, garam ditukar dengan garam, (mestilah) sama timbangannya dan serah terima langsung (tunai). Barangsiapa melebihkan atau meminta lebih, maka ia telah melakukan amalan riba, yang mengambil atau yang memberi hukumnya sama.”
3. Menurut hadis itu, EMAS dan PERAK dianggap produk ribawi. Dan produk ribawi jika ingin ditukarkan hendaklah sama berat dan serahan segera. Contohnya emas ditukar dengan perak, maka serahan kedua-duanya segera, dalam satu sesi transaksi. Emas ditukar dengan emas, mesti sama timbangannya (kerana timbangan itulah pengukur nilainya).
4. Majoriti ulama menganggap sebab utama (‘illah) yang menjadikan EMAS dan PERAK itu ribawi ialah kerana sifatnya sebagai mata wang, bukan kerana sifat fizikalnya sebagai emas dan perak semata-mata. Ertinya jika komoditi itu bukan emas, contohnya kulit binatang dijadikan mata wang, ia tetap menjadi produk ribawi yang tertakluk kepada hukum-hukum di atas (No 3).
Atas sebab itu, Imam Malik rh berkata: “Sekiranya manusia menjadikan penggunaan kulit sebagai wang di kalangan mereka, nescaya aku haramkan kulit itu ditukar dengan emas dan perak secara bertangguh.” (al-Mudawwanah, jld 3, h 396)

Dan bagaimana pula wang kertas boleh menjadi komoditi ribawi?
5. Oleh kerana sifat produk ribawi ialah mata wang, maka mana-mana komoditi yang menjadi mata wang utama masyarakat tetap menjadi produk ribawi. Andainya bitcoin, dianggap mata wang, maka ia tetap barangan ribawi, dan wang kertas sekarang adalah ribawi kerana ia mempunyai sifat mata wang iaitu sebanyak medium pertukaran, pengukur nilai, simpanan nilai dan alat pembayaran tertunda. Berlian walaupun mahal, tidak menjadi produk ribawi sebab ia tidak memiliki sifat mata wang, tetapi ia boleh menjadi ribawi jika suatu ketika ia membolehkan sifat mata wang.
6. Inilah kaedah al-Qiyas yang menjadi sumber pendalilan majoriti mazhab Ahli sunnah, selepas al-ijma’. Melalui al-Qiyas, para ulama’ terutamanya ulama moden hampir semuanya menerima hukum wang kertas sebagai barangan ribawi. 

7. Ya, memang pada awalnya ulama banyak berbeza pendapat sama ada wang kertas ribawi atau tidak. Bahkan ada kitab-kitab melayu klasik yang menyamakan wang kertas sama seperti fulus dalam mazhab al-Syafi’i, iaitu bukan barangan ribawi. Perbezaan pandangan ini kerana ulama tidak dapat menentukan secara jelas tentang kedudukan wang kertas dalam sistem wang fiat, yang tiada sandarannya. Bahkan masih ada ulama yang menganggap wang kertas itu ada sandaran emas, lalu meletakkan hukum ribawi pada wang kertas atas alasan ia adalah sandaran kepada emas.  Ini masih berlaku dalam era 80an.

8. Namun kini hampir semua ulama sudah setuju bahawa wang kertas mengambil hukum yang tersendiri yang didasarkan kepada hukum emas dan perak. Inilah pendapat yang disebutkan dalam keputusan Majma’ Fiqh Islami sekitar tahun 1986.  Walaupun ulama fiqh terdahulu berbeza pendapat tentang ‘illah kepada emas dan perak, namun majorti ulama’ sekarang faham bahawa ‘illah sebenar ialah matawang secara mutlak.  Jadi mana-mana perkara lain yang ada persamaan sifat dengan emas dan perak seperti yang dimaksudkan oleh hadis, maka ia dianggap ribawi. Ribawi dalam erti kata jika ingin tukar sesama sendiri tidak boleh ada perbezaan nilai, jika ditukar dengan matawang lain perlu segera.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *