Konsep Istikhlaf dalam Ekonomi Islam

Manusia tidak pernah memiliki harta kerana harta di bumi ini semua milik Allah. Firman Allah: Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah (2:284)
Manusia cuma pengurus harta berasaskan konsep istikhlaf: pengganti Allah di muka bumi ini untuk menguruskan alam ini.

Kuasa menguruskan harta diberikan kepada manusia melalui dua bentuk:
– kuasa kerajaan
– kuasa persendirian
Dan kuasa pentadbiran harta oleh kerajaan mengatasi kuasa individu.

Contohnya kerajaan berkuasa untuk mengehadkan binatang-binatang di hutan daripadanya diburu, atau mengehadkan tanah daripada diteroka. Kuasa itu datang daripada konsep istikhlaf. Atas sebab itu mana-mana harta yang dianggap milik Allah perlu diurus tadbir oleh pihak kerajaan, contohnya harta wakaf.  Atas sebab itu juga kerajaan mempunyai kuasa yang besar dalam pengurusan harta berasaskan keperluan dan maslahah masyarakat.

Allah berfirman:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi (2:30)

Apakah rukun-rukun dan syarat istikhlaf?

Istikhlaf ialah bentuk tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada manusia untuk memakmurkan bumi, menguruskan segala kekayaan alam, dengan kaedah yang betul.

Sarjana ekonomi Islam telah menyenaraikan 4 rukun istikhlaf:
1. al-Mustakhlif (Yang memberi mandat) – Allah Tuhan Pemilik Alam
2. Khalifah (yang diberi mandat) – Insan
3. Subjek Istikhlaf – Bumi dan kekayaannya
4. Panduan Istikhlaf – Agama

Berasaskan rukun-rukun ini, kita dapat fahami bahawa alam semesta dan segala kekayaan kita miliki ini bukanlah milik mutlak kita. Kita cuma pengurus harta, sama ada harta peribadi, lebih-lebih lagi harta awam. Bukti jelas, apabila kita meninggal dunia, harta secara automatik berpindah kepada ahli waris yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Bukti jelas juga, sebaik sahaja seorang lelaki berkahwin, sebahagian wang diperolehi wajib dinafkahkan kepada isteri dan anak-anaknya. Jelas, harta dalam tangan kita, bukan kepunyaan kita, tapi ditentukan kaedah pengurusan oleh Allah SWT melalui panduan al-Quran.

Ikan di laut, haiwan di hutan, walaupun secara umumnya ia halal untuk siapa sahaja yang berburu, tapi kaedah berburu ditentukan oleh Syariah. Contohnya, Islam menetapkan binatang yang harus diburu adalah binatang yang belum dimiliki, dan dibenarkan oleh kerajaan. Memburu pula perlukan niat, tanpa niat, binatang itu tidak menjadi hak milik secara automatik. Contohnya, jika kita menjemur jaring, tiba-tiba ada burung yang terlekat pada jaring, burung itu bukan jadi milik kita secara automatik, tetapi setelah kita tangkap dan pegang baharulah jadi milik kita.

Daripada mana datang semua kaedah ini? Ia datang daripada panduan agama Islam melalui al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan dianalisis oleh para ulama berasaskan realiti dan keperluan zaman masing-masing.

Syarat Istikhlaf

Terdapat dua bentuk syarat utama yang membolehkan istikhlaf berlaku:
1. Syarat Material
2. Syarat Akidah

1. Syarat Material

Syarat meterial ialah bagaimana Allah mencipta dan menyediakan alam ini untuk manusia. Ya, hanya seseorang itu insan, untuk manusia seluruhnya tidak kira Muslim atau bukan. Firman Allah:
Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Baqarah: 29]

Firman Allah:
Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). [Baqarah: 22]

Firman Allah:
Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. [al-Jathiyah: 13]

Dalam contoh ayat al-Quran disebutkan, jelas di sini bahawa alam ini diciptakan untuk manusia uruskan oleh Allah.

2. Syarat Akidah 
Untuk memastikan alam dan kekayaannya diuruskan dengan baik, manusia perlu memenuhi syarat akidah iaitu mempercayai bahawa alam ini milik Allah dan wajib diuruskan dengan cara yang Allah tetapkan. Dan syarat ini membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Kerana hanya mukmin yang percaya bahawa penyerahan ini adalah daripada Allah pemilik sekalian alam.

Apabila Adam turun ke dunia, inilah panduan pertama yang Allah berikan untuk menguruskan alam:
Kami berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. [Baqarah: 38]

Jelas, untuk menguruskan alam ini, perlu berasaskan petunjuk daripada kitab Allah dan rasul yang diutuskan. Bukan dengan cara sendiri dan sistem sendiri.

Inilah kontrak asas pengurusan alam ini kepada manusia, oleh Tuhan pemillik alam semesta. Selepas kontrak ini, baharulah berlaku kontrak-kontrak pemindahan harta yang lain sesama manusia. Semuanya berasaskan kepada konsep bahawa insan adalah cuma pengurus harta, dan bukan pemilik harta.

(Rujukan: Abd Jabbar al-Sabhani (2003), al-Istikhlaf wa al-Tarkib al-Ijtima’i fi al-Islam. Amman: Dar al-Wa’il)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *