Beberapa Aspek Penilaian Skim Ponzi Dalam Kaca Mata Syariah

Skim cepat kaya, atau skim ponzi, sentiasa berkembang dan berevolusi. Mereka boleh beroperasi dalam sistem perundangan yang ada dengan mempergunakan pelbagai bentuk helah perundangan, contohnya undang-undang membenarkan jual beli, lalu mereka kata urusan mereka cuma jual beli.

Begitu juga mereka pandai menggunakan helah untuk menyukarkan analisis Syariah. Baca contoh di bawah dengan teliti.
Contohnya, secara prinsipnya, Syariah mengharuskan jual beli selagi mana wujud unsur kerelaan walaupun harga jualan itu mahal. Selagi mana ada “willing buyer dan willing seller” maka ia sah dan harus. Lalu direkayasa kononnya, apabila pembeli pun rela, maka akad sah dan harus. Sedangkan dalam banyak keadaan, pembeli rela untuk membeli bukan kerana produk itu sendiri, tetapi kerana tertarik dengan ‘income’ yang bakal dijana setelah menjadi ahli hasil pembelian tersebut. Contohnya syarikat skim cepat kaya berwajah MLM ini menjual losyen, dari sudut Syariah, losyen nak jual RM300 pun tak mengapa jika ia berbaloi dan pembeli rela membeli kerana merasakan ia berbaloi. Untuk menilai berbaloi atau tidak pula adalah sangat subjektif. Mungkin ada yang dakwa berbaloi dan mungkin ada yang sebaliknya. Di sinilah lompang yang digunakan oleh mengusaha skim MLM piramid untuk mendakwa ia patuh Syariah.
Dalam fiqh muamalat, ada konsep al-ghabn, yang mana jika harga produk itu melampaui kebiasaan pasaran dan ada unsur pemerdayaan (taghrir), ia tidak dibenarkan. Dalam fiqh muamalat pun ada khilaf tentang al-ghabn ini. Aplikasi konsep ini yang perlu lebih dikaji dan difahami dengan teliti oleh para ustaz, supaya lompang Syariah dalam menangani topeng piramid ini dapat dihapuskan. Walaupun tidak mudah kecuali bagi mereka yang berkepakaran dalam muamalat, juga mahir dalam menganalisis skim piramid. Ada mereka yang pakar dalam muamalat tapi tidak begitu mahir dengan selok-belok skim piramid, maka ustaz sebegini mungkin mudah diperdayakan untuk mengharuskan hukum skim-skim sebegini. Lagi pun hujah mereka kuat kerana asal sesuatu hukum muamalat adalah harus selagi dibuktikan ia haram.

Ada juga skim yang menggunakan jual beli ‘al-salam’, iaitu dengan memberi wang pendahuluan untuk mendapatkan produk dengan harga yang murah pada masa akan datang. Maka kononnya sama seperti kita beli kain yang banyak, dengan harga murah berbanding pasaran, lalu pengilang perlukan masa untuk deliver kain itu sedikit demi sedikit. Maka dalam Syariah ia dibenarkan. Jadi atas asas ini mereka kata jual ‘point’ yang boleh ditukar dengan kredit topup atau bayar bil, sama seperti bay’ salam. Di sini bukan sahaja orang awam yang terperangkap, bahkan para pelajar agama dan ustaz pun terperangkap.

Justeru, menilai skim-skim ini tidak seharusnya menggunakan bentuk-bentuk akad sahaja, tapi nilai juga model perniagaan mereka. Cuma dalam menilai viability model perniagaan, analisis biasanya boleh terperangkap sekali lagi sama ada untuk mengatakan sesuatu bisnes itu money game, atau kerana wujudnya risiko bisnes (business risk) yang sememangnya wujud pada setiap perniagaan. Contohnya, adalah tidak munasabah bagi syarikat itu membeli semula point itu dengan pelanggan dengan harga yang mahal. sedangkan dia telah menjual dengan harga yang begitu murah. Contoh lain, syarikat kopi yang menjual kopi dengan harga diskaun besar kepada pelanggan, tetapi tiba-tiba membeli semula kopi dengan harga yang mahal? Kenapa dia tidak jual sahaja kopi itu sendiri terus ke pasaran? Kenapa perlu beli balik ?

‘Common sense’ dan sikap berhati-hati (warak) memainkan peranan dalam hal ini. Tapi common sense pula sering kali dikelabukan dengan ketamakan manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *