Testimoni Olok-olok dan PM Palsu

SOALAN:

Salam.. saya ingin bertanya tentang teknik pemasaran sesuatu produk. Adakah dibolehkan seseorg menjual produk melalui FB kemudian secara berjemaah mereka like n komen setiap profil rakan2 yg menjual produk sama.. kemudian dalam komen tersebut saling memuji n memesan utk membeli produk tersebut..padahal mereka blom pon merasainya sendiri. Tujuannya utk menarik perhatian kwn2 FB lain. Mohon penjelasan terperinci.. sekian terima kasih.

JAWAPAN: Wasaalam, teknik pemasaran tersebut sangat TIDAK BERETIKA, ia boleh kita samakan dengan kaedah tanajusy yang dilarang oleh Nabi SAW. Begitu juga kaedah yang biasa digunakan oleh penjual online sekarang seperti mewujudkan “PM” yang palsu yang dibuat oleh sama ada rakan-rakan mahupun akaun fb yang fake. Konon-kononnya ramai yang PM untuk order sedangkan ia tidak demikian. Ia untuk memberi gambaran produk itu berkualiti dan ada permintaan ramai. Sebenarnya ia cuma gambaran palsu. Memberi gambaran palsu tentang jual beli, atau testimoni palsu, boleh kita masukkan dalam hukum bay al-najasy atau al-tanajusy. Rasulullah SAW berpesan dalam hadis sahih: “Janganlah kamu melakukan tanajusy” [Bukhari dan Muslim]

Tanajusy ialah perbuatan acah-acah nak beli dengan niat untuk mendorong orang lain untuk mempercayai dan menyangka bahawa ramai nak beli produk tersebut. Asalnya tanajusy merupakan amalan masyarakat arab dalam jual beli bidaan,  mereka acah-acah menawarkan harga yang tinggi kepada penjual, sedangkan mereka sudah berpakat, agar pembeli lain menyangka produk itu berkualiti tinggi dan boleh dijual dengan harga yang mahal.

Ulama dalam membincangkan tentang isu ini telah menyimpulkan bahawa apa-apa jua pakatan antara penjual dan geng sekutunya untuk mengelirukan orang lain, termasuk dalam tanajusy dan al-khida’ iaitu penipuan. Pertamanya ia haram kerena dia berpakat dengan kawan-kawan untuk menipu orang ramai, atau membuatkan orang ramai menyangka ramai nak beli sedangkan tidak ramai mahu beli pun. Keduanya ia mungkin menyebabkan orang ramai menyangka produk itu berkualiti dan harganya sepadan, sedangkan produk itu tidak berkualiti dan harganya tidak sepadan. Namun jika testimoni itu adalah jujur, produknya benar-benar bermutu, ia tidak menjadi satu kesalahan.

Kesimpulannya jual beli tersebut adalah sah jika penipuannya tidak keterlaluan, tapi hukummnya haram.

Ahmad Sufyan Che Abdullah muamalat.my UNIVERSITI MALAYA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *