Luqatah: Hukum Barangan Yang Ditemui

Fiqh Muamalat | Bagaimana jika anda menjumpai harta yang lain yang keciciran? Bolehkah menyimpannya? Berapa lama? Bagaimana caranya? Sarjana fekah muamalat terdahulu membincangkan hal ini dalam bab yang dinamakan sebagai al-Luqatah. Luangkan sedikit masa menimba ilmu fekah muamalat.

Luqatah bermaksud apa-apa harta yang tercicir (dan kelihatan seperti tidak dalam jagaan) yang dijumpai yang tidak diketahui pemiliknya; sama ada harta atau binatang atau pun manusia.

HUKUM: Sunat diambil untuk disimpan dan dihebahkan, tetapi menjadi haram jika dia niat untuk memilikinya. Jika diambil, maka wajib baginya untuk menghebahkannya.

HUKUM MENGIKUT JENIS HARTA:
Hukum barangan jumpaan ini berbeza mengikut jenisnya. Jika barangan jumpaan itu dianggap tidak bernilai tinggi pada kebiasaannya, pemiliknya tidak akan mencari kembali jika kehilangan, maka harus menggunakannya tanpa perlu menghebahkannya.
Jika barangan itu tidak mahal, tetapi ada nilaian pada kebiasaannya, maka wajib dihebahkannya. Apatah lagi jika barangan itu bernilai tinggi. Maka perlu usaha agar dihebahkan kepada umum selama setahun dengan hebahan yang jelas dan sesuai dengan keadaan zamannya. Setelah tamat tempoh setahun, setelah usaha hebahan dilakukan, maka para sarjana berbeza pandangan sama ada boleh memilikinya atau tidak. Secara umumnya, jika dia kaya, maka dia tidak boleh menggunakannya perlu sedekahkan harta itu, tetapi jika dia miskin harus dia menggunakan wang itu, dan tidak perlu diganti (dia dituntut pemiliknya) menurut majoriti fuqaha.
Jika barangan itu jenis cepat rosak, seperti makanan dan buah-buahan, yang mana jika tidak diambil ia akan rosak, tidak perlulah menunggu untuk menghebahkannya dan boleh menggunakannya; sama ada menggunakan untuk diri sendiri atau memberi sedekah kepada orang lain.
Jika harta itu dijumpai di Mekah atau tanah haram, maka dilarang membawa keluar daripada tanah haram dan wajib menghebahkannya selama-lamanya.

HUKUM ZAMAN KINI

Pada asasnya hukum menggunakan barang yang dijumpai adalah haram. Walaupun dalam kitab fiqh terdahulu membolehkan seseorang itu mengambil untuk tujuan menghebahkan kepada umum agar pemiliknya yang mencari dapat menemuinya semula, tetapi pada zaman sekarang, kelihatan cara terbaik adalah hanya serahkan kepada pihak yang berwajib seperti pejabat polis atau “unit lost and found” jika ada. Ini kerana kebiasaannya, jika orang kehilangan, maka mereka akan merujuk kepada balai polis untuk membuat laporan kehilangan. Bahkan para sarjana terdahulu pun mewajibkan hebahan dilakukan pada tempat yang pada kebiasaannnya pemiliknya akan mencarinya.

Jika di Mekah, mereka akan merujuk kepada unit hilang dan jumpa di Masjidil Haram. Tidak timbullah sama ada seseorang itu harus menggunakan harta jumpaan itu selepas setahun kerana telah diserahkan kepada pihak yang berkuasa.

Kecualilah barangan itu jenis yang mudah rosak, yang mana jika tidak digunakan dikhuari ia rosak dan membazir begitu sahaja, maka haruslah diambil dan digunakan. Itu pun, sesetengah ulama berpendapat wajib diganti jika ada yang mencari selepas itu. Bagaimana pun pendapat itu perlu dinilai dengan lebih terperinci, sekiranya yang menuntut itu datang pada waktu yang kebiasaannya barangan itu telah rosak, maka tidak perlu dia menggantinya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *