Alternatif Simpanan Emas 1gm Sebulan Pelaburan Patuh Syariah

Ramai yang bertanya:
Bagaimana cara jika nak menyimpan emas, sebagai salah satu cara tabungan dan pelaburan untuk mengelakkan inflasi, dengan sekadar 1gm sebulan, yang berasaskan Syariah?

Posting ini bukan ingin iklan, tapi sebagai alternatif kepada yang bertanya. Untuk mengelakkan daripada terjebak dalam risiko belian emas secara tidak patuh Syariah, atau pelaburan emas scam. Perlu jelas di sini, tidak ada pelaburan emas yang menjanjikan profit. Kerana harga emas naik turun bergantung kepada pasaran emas dan nilai mata wang. [Updated 12/12/17]

Terdapat TIGA cara utama iaitu:

1. Beli fizikal emas secara spot.
Dicadangkan beli emas secara COD (cash on delivery) dengan penjual gold bar emas, seperti Public Gold, Poh Kong, dan lain-lain (banyak lagi jenis gold bar di pasaran) emas 1gm. Insitusi perbankan Islam yang menjual gold bar ialah Bank Muamalat tetapi dalam bentuk 5gm yang paling minimum (Emas Perth Mint). Kijang Emas oleh BNM pun menarik sebab spread sangat rendah, ia boleh didapati di cawangan Maybank tertentu tapi dalam denominasi ¼ Ounce, ½ Ounce dan 1 Ounce dan stok sangat terhad. Emas-emas ini perlu disimpan sendiri. Simpanan sendiri jika banyak, sangat berisiko sebenarnya.
Setakat ini, emas-emas jongkong yang ada pengiktiraf LBMA dikecualikan daripada GST. Jika ingin tunaikan, boleh jual kepada pengeluar asal, tapi anda kena pandai cari market sendiri untuk jual dengan harga yang baik (mengelakkan kerugian spread).
Tidak digalakkan beli secara Pos kerana risiko kehilangan bahkan menyalahi peraturan pos, dan jika tak kena tata cara, risiko riba nasi’ah pun boleh berlaku.

2. Akaun Pelaburan (Simpanan) Emas.
– Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad​
Kuwait Finance House ada menawarkan akaun pelaburan berasaskan emas 100% patuh Syariah dan sangat memudahkan, dan dengan harga yang rendah (emas 995, LBMA). Untuk belian pertama semasa membuka akaun disyaratkan minumum 10 gram, dan belian seterusnya 1gm. KFH menawarkan pilihan untuk mengambil emas fizikal SEGERA, atau disimpan di bank menggunakan kontrak qard (pinjaman). Apa yang menarik, belian boleh dibuat secara online melalui perbankan Internet (antara 9.30 hingga 4.30 ptg sahaja), jualan dan belian dikreditkan ke dalam akaun simpanan. Jadi anda boleh menyimpan 1gm sebulan seperti yang diinginkan. Apa yang menarik bagi KFH Gold i ini ialah kadar spread yang rendah berbanding yang lain. Sangat disarankan bagi mereka yang mahu memulakan simpanan emas.
– Al Rajhi Bank (Malaysia)
al-Rajhi Bank ada menawarkan akaun pelaburan berasaskan emas patuh Syariah (emas PAMP Suisse), tapi jumlah belian minimum 5gm.
– Bank Muamalat Malaysia Berhad​
Bank Muamalat turut menawarkan akaun emas, dengan emas fizikal Perth Mint yang boleh dikeluarkan. Harga emas Perth Mint yang ditawarkan agak kompetitif dan harga ‘spread‘ bagi akaun emas agak menarik. Bahkan boleh beli emas dengan serendah RM10. Jual beli emas boleh dilakukan secara dalam talian. Cuma harga emas untuk akaun dan fizikal sedikit berbeza dan ada cara pengiraan tersendiri, boleh rujuk website bank muamalat.
– Public Gold International Bhd.​
Ramai juga yang bertanya tentang PublicGold GAP (Gold Accumulation Programme). Pada asasnya sistem GAP adalah simpanan emas, yang dibeli secara online. Emas anda miliki secara sah (Qabd Hukmi) dan anda pada bila-bila masa boleh menuntut emas anda di cawangan namun dikehendaki membayar sedikit premium untuk tukar daripada akaun ke fizikal. Saya sarankan jika ingin membeli secara GAP, anda wajar mendapat khidmat nasihat agen-agen Public Gold yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan Syariah. Ia salah satu cara simpanan dengan modal rendah bermula serendah RM100 sahaja. Cuma spread emas PG ini agak tinggi jika dibandingkan dengan Bank Muamalat Akaun dan KFH.  Jadi anda perlu tempoh lama untuk jual balik emas dengan harga modal. Antara kelebihan emas fizikal public gold, ia boleh dirahnukan (dipajak) di pejabat pos tanpa perlu membuka certificate dan ini boleh mengekalkan harga jualan emas fizikal tersebut.

3. Beli barang kemas. Cara ini kelebihannya untuk si isteri boleh memakainya dan mudah dicagarkan di Al-Rahnu jika perlukan wang segera. Namun ia mempunyai kos upah yang tinggi, biasanya ada GST dan risiko simpanan yang tidak boleh dipandang remeh. Walaupun kos upah mahal dan spread yang tinggi, namun isteri pasti sayang jika suami selalu beli emas, berbanding beli hadiah perfume atau iPhone yang harganya makin jatuh.

⛔ Antara perkara yang perlu ELAKKAN:
+ Beli emas tak dapat emas
+ Beli emas dijanjikan hibah
+ Kena bayar YURAN AHLI kononnya untuk dapatkan emas murah, kemudian ditawarkan bonus tinggi kerana cari ahli.
+ Beli emas, dapat emas, tapi perlu serah semula kepada penjual untuk dapat keuntungan bulanan
+ Pelaburan emas yang menawarkan keuntungan
+ Pelaburan scam yang terdapat dalam senarai peringatan BNM
+ Beli jongkong emas yang ada GST 6%, namun jika barang kemas berbaloi kerana boleh dipakai. (Sejak GST ditukar kepada SST, tiada SST untuk produk emas)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *