Prinsip Asas Muamalat Islam

Syariah Ini prinsip penting yang perlu diingati oleh semua yang terlibat dalam urusan jual beli.

Baca dengan teliti.

1. Kerelaan dalam urus niaga. Ini prinsip terpenting dalam urus niaga seperti mana yang digariskan oleh Allah di dalam Surah al-Nisa’ ayat 29. Berasaskan prinsip inilah para sarjana muamalat daripada semua mazhab menjadikan ‘sighah‘ (lafaz ijab dan qabul) sebagai rukun akad. Mereka cuma berbeza tentang bentuk dan cara sahaja. Bahkan berasaskan prinsip ini Imam al-Syafi’i mensyaratkan lafaz itu perlu disebut secara jelas. Berasaskan prinsip ini juga sebarang manipulasi terhadap kerelaan seperti al-ghisy (penipuan), al-ghabn dan seumpamanya diharamkan oleh Syariah. Sebab itu dalam zaman moden ini, jika urus niaga itu bersifat jangka panjang, maka kontrak bertulis wajib disediakan. Rasulullah SAW menempelak golongan yang menipu dalam perniagaan dengan menganggap urus niaga mereka tidak akan diberkati. Bahkan menggalakkan ketelusan dengan mendoakan keberkatan.

2. Tidak mengandungi elemen haram yang disebutkan oleh dalil Syariah seperti unsur riba, gharar, dan perjudian. Riba adalah dosa besar dalam Syariah, ia tetap haram walaupun wujud unsur kerelaan kedua-dua belah pihak. Riba diharamkan di dalam al-Quran juga di dalam hadis memperincikan riba kepada pelbagai bentuk. Begitu juga dengan gharar yang fahisy, juga diharamkan oleh Syariah, bahkan Imam al-Nawawi menganggap pengharaman gharar merupakan prinsip asas muamalat Islam yang mana di bawahnya terdapat pelbagai bentuk jual beli yang diharamkan seperi bay’ al-hasah, al-mulamasah, al-munabadhah, jual beli buah yang belum jelas hasilnya dan lain-lain. Jual beli dalam talian juga sebenarnya mengandungi unsur gharar kerana pengguna tidak jelas tentang rupa sebenar produk yang akan diperolehinya. Maka adalah menjadi kewajipan kepada penjual menyediakan polisi yang baik untuk menangani isu ini. Gharar ialah elemen risiko yang tinggi yang membawa kepada implikasi kabur bagi sesuatu kontrak. Manakala perjudian pula tahap gharar yang paling tinggi. Ia jelas diharamkan oleh al-Quran dengan mengkategorikan sebagai satu urus niaga keji (rijs) yang menjadi amalan Syaitan. Walaupun pembeli itu rela ketika membeli nombor ekor, hukumnya tetap haram. Selain itu, ia tidak melanggar mana-mana hukum lain seperti urus niaga pada waktu Solat Jumaat bagi lelaki Muslim yang bermukim.

3. Produk dan perkhidmatan yang menjadi asas kepada urus niaga perlulah bukan daripada produk yang haram seperti babi, arak, najis, bangkai, dadah, rokok, anjing dan seumpamanya. Perkhidmatan seperti pelacuran, GRO, hiburan haram, tilik nasib tidak kiralah menggunakan apa jua medium, melukis tatoo dan seumpamanya. Terdapat banyak hadis Nabi SAW yang mengisyaratkan larangan Nabi terhadap urus niaga yang melibatkan produk dan perkhidmatan yang haram dan yang berbahaya.

4. Urus niaga tidak membawa kepada kerosakan terhadap struktur ekonomi dan sosial masyarakat yang disengajakan. Adakalanya sesuatu urus niaga itu nampak sah secara zahirnya, tetapi jika ia merosakkan sistem ekonomi atau bertujuan untuk memanipulasi pasaran, maka ia tetap diharamkan. Rasulullah SAW melarang perbuatan ihtikar, iaitu menyorok barangan dengan tujuan agar harga barangan meningkat. Membeli barangan dengan banyak tidak salah, tetapi jika tujuan membeli adalah untuk memanipulasi harga pasaran, maka ia diharamkan. Rasulullah turut melarang orang tengah cuba memanipulasi dengan membolot sumber-sumber daripada masuk ke pasaran (bay’ hadir lil badi & bay’ talaqqi al-jalab) kerana bentuk urus niaga ini merosakkan mekanisma pasaran yang sepatutnya mudah diakses. Di sini terletak peranan kerajaan untuk mengawal bentuk manipulasi pasaran terutama monopoli syarikat gergasi terhadap pasaran.

Ini cuma ringkasan yang boleh dihuraikan menjadi sebuah buku. Namun, anda boleh baca, faham dan sebarkan.

#prinsipmuamalat #shariahcompliant #patuhsyariah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *